Wednesday, November 18

Hati Seorang Ibu

Seorang ibu menyuruh anaknya membasuh kawah dan periuk besar kerana si ibu hendak menggunakan perkakas tersebut untuk majlis jamuan kecil-kecilan.

Si anak tadi menjawab, "Uda nak simpan tenaga, ada lawan bola petang ni dengan kesebelasan utama Majlis Daerah Simpang Rengam. Harap maaf, ya?"

Si ibu hanya berdiam diri dengan jawapan anaknya. "Mungkin ada betulnya," detik ibu dalam hati.

Kemudian, ketika keluar daripada rumah ada motosikal yang menghalang laluan kereta si anak tadi. Lalu, dia mengalihkan motosikal tersebut ke belakang kereta pria terhebat, si ayah.

Si ibu yang melihat tindakan itu berkata, "Alihkan semula motor tu. Nanti susah ayah kau nak keluar."

Si anak menjawab, "Tak sempat ni... Nak pergi main bola ni."

Lantas, si anak menaiki kereta dan dalam perjalanannya untuk pergi si ibu yang tidak dapat menahan geramnya berkata, "Kalah kau main bola nanti..."

Ketika si anak pulang selepas perlawanan bola, si ibu sudah sejuk hatinya. Si ibu dengan niat mengambil berat keberadaan anaknya bertanya, "Kalah ke menang tadi?"

"Kalah," balas si anak. Ringkas.

"Macamana boleh kalah?" Soal pula si ayah.

"Ketika itu kedudukan terikat 1-1. Uda tergolkan sendiri pula pada masa kecederaan."

Lantas, ruang dapur bergema dengan gelak tawa. Sudah tentu perkara ini menggelikan hati si ibu. Si ibu berpesan,

"Mulut umi tak ada apa-apa kuasa. Mudah-mudahan ini jadi pengajaran untuk kau supaya dengar kata umi ayah."

Friday, October 16

Si Buta yang Pekak Menjaga Si Lumpuh yang Bisu

Setelah 2 tahun berhari Raya Aidilfitri di Adelaide dengan kawan-kawan, saya berpeluang pulang ke Malaysia pada tahun 2009. Selain daripada kegembiraan berganda kerana beraya dengan keluarga, banyak perkara yang telah saya pelajari.

Namun begitu, saya melihat daripada kacamata seorang pemuda berumur 22 tahun. Pandangan saya mungkin masih belum cukup matang, tetapi pendapat orang muda tidak boleh diabaikan juga.

Gigitan semut kecil pun berbisa juga.

Petang hari raya pertama, saya melawat seorang pak cik yang sudah tua. Dia menghidap penyakit Parkinson. Dan dia lumpuh separuh badan daripada pinggang ke bawah. Dia juga bisu. Dia menepuk-nepuk tangannya ke lantai jika dia inginkan perhatian. Isteri yang menjaganya pula rabun dekat dan jauh serta pekak pula.

Seribu satu kepayahan mereka alami setiap hari. Andaikata pak cik tadi perlukan bantuan, dia hanya menepuk-nepuk lantai dengan penuh harapan isterinya akan datang ke sampingnya. Namun begitu, bantuan yang diharapkan tidak tiba kerana isterinya tidak dapat mendengar panggilannya.

Si isteri yang sudah tua tadi selalu saja terjatuh dan tercedera ketika mengurus hal-hal rumah tangga kerana rabunnya sangat teruk sekali.

Memikirkan kehidupan mereka yang penuh dengan kesukaran dan penderitaan, saya merasakan tiada apa pun yang dapat membahagiakan mereka melainkan dilepaskan semua penderitaan itu.

Namun begitu, si isteri tua yang setia menjaga suaminya yang lumpuh itu berkata kepada saya,

"Atuk tak kisah hidup begini. Tapi, kalau anak-anak datang melawat sekali sebulan pun, atuk dah rasa bahagia dah..."

Tatkala mendengar ucapan itu, mata saya digenangi air. Saya mula menilai, apa pula erti bahagia bagi saya?

Adakah jika saya sudah kaya saya akan merasa bahagia?

Atau, apabila saya terkenal dan disanjung, saya akan bahagia?

Atau, jika saya susah payah untuk kehidupan dunia dan akhirat, saya tetap akan bahagia andai ada insan tersayang yang tabah bersama saya?

Sunday, October 4

Pulanglah di Hari Raya

Ketika dalam keretapi menuju ke Singapura, meninggalkan umi dan pria terhebat di Stesen Keretapi Kluang, lagu Dato' M. Daud Kilau berkumandang di radio.

"Ohooo~~~~ Hoi~~~~"
"Bila dah mata bertentang maataaa~~~"

"Tak kena betul lagu ni dengan mood aku," bisik hati kecil ini...

Setelah 2 tahun berhari raya di perantauan, tahun ini saya diberi peluang untuk menyambut hari itu bersama keluarga di Johor. Yang pasti, kepulangan kali ini memang berbaloi. Banyak perkara baru yang saya pelajari dan fahami.

Pengajaran yang paling penting sekali ialah erti bahagia.

Dengan izin Allah, saya akan tuliskan pada masa akan datang dan saya tandakan dengan tag 'Aidilfitri'.

Sekian.

Tuesday, July 21

Jimi, Kazama dan Pereka Fesyen

"Jimi, aku ada satu cerita. Ini cerita betul."

"Cerita je. Bukan ada orang lain yang nak dengar cerita kau."

Lalu Kazama pun bercerita.

Kazama mempunyai seorang kawan daripada Timur Tengah yang bernama Hassan (bukan nama sebenar). Ketika bertemu, mereka akan berbincang dan bergurau-gurau. Selepas 2 tahun, mereka menjadi sangat rapat hingga pada suatu hari Hassan mendedahkan kisah silamnya.

"Dahulu, ana sebenarnya seorang pereka fesyen. Ana tidak berbohong. Ana orang pertama yang menerima anugerah sekian-sekian daripada badan fesyen Australia. Anta boleh cari di 'internet' kalau tidak percaya," Hassan memulakan cerita.

"Alamak! Betul ke? Tak pernah pun anta komen tentang cara ana berpakaian. Ana dapat rasa cara ana berpakaian memang teruk!" Kazama terkejut dan malu yang teramat sangat.

Hassan menyerahkan katalog berisi rekaannya yang disediakannya beberapa tahun lalu yang melayakkannya memenangi anugerah tersebut. Selepas membelek tidak sampai 5 minit, Kazama terus jatuh cinta dengan pakaian-pakaian lelaki yang direka oleh Hassan.

"Ana sedih dengan hidup ana yang dahulu. Ana terlalu obses dengan dunia ana sehinggakan ana sanggup melancong ke London, US, dan tempat-tempat lain semata-mata untuk membeli baju. Tapi, walaupun dengan duit yang banyak, kerjaya yang mantap, ana tak dapat ketenangan," sambung Hassan.

Kazama lebih yakin yang Hassan memang berjiwa seni selepas melihat semula ruang tamu rumah Hassan, tempat mereka sedang bersembang. Lukisan abstrak di dinding, pasu-pasu hiasan yang cantik, dan pilihan warna yang harmoni. Bahkan, ada jam dinding yang menunjukkan waktu bagi 5 bandaraya lain: Tokyo, New York, London, Sydney dan .... (Kazama terlupa satu lagi).

"Ana mendapat ketenangan setelah ana tinggalkan hidup yang lalu, cari rezeki melalui jalan yang bebas daripada maksiat, dan melibatkan diri dalam kerja-kerja Islam," ujar Hassan sambil tersenyum.

"Ana musykil Hassan. Anta mampu tapi, kenapa anta tidur atas lantai di ruang tamu?"

"Bilik ana memang ada katil, tapi selain daripada ruang untuk katil, ruang lain penuh dengan kotak-kotak berisi baju-baju yang ana beli. Lagipun, ana lagi selesa tidur di atas lantai," jawab Hassan.

"Alhamdulillah. Tahniah buat diri anta. Moga-moga anda terus dikurniakan kebaikan daripada Allah."

********************************************************

"Itulah cerita yang aku nak kongsi, Jimi."

"Lepas ni, biar aku pula yang bercerita tentang kawan aku. Dia daripada Timur Tengah juga," kata Jimi.

"Aku bukan nak ajak balas-balas cerita... (Sigh)... Apa pengajaran yang boleh kau ambil, Jimi?"

"Siapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, diberi kefahaman dan penghayatan dalam agama Islam. Dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang, dan taubat tidak pernah terlalu lewat."

"Ada banyak lagi yang Hassan ceritakan pada aku sebenarnya. Tapi, lain kali lah. Salam."

Monday, June 29

Munajat Cinta & Kasihku Abadi

Kali ini saya bawakan kepada pembaca dua lirik lagu.

Lagu yang pertama tajuknya Munajat Cinta. Lagu ini dinyanyikan oleh The Rock, kumpulan daripada Indonesia. Lagu ini diperkenalkan kepada saya oleh kawan serumah.

Malam ini ku sendiri
Tak ada yang menemani
Seperti malam-malam
Yang sudah-sudah

Hati ini selalu sepi
Tak ada yang menghiasi
Seperti cinta ini
Yang selalu pupus

Tuhan kirimkanlah aku
Kekasih yang baik hati
Yang mencintai aku
Apa adanya

Mawar ini semakin layu
Tak ada yang memiliki
Seperti aku ini
Semakin pupus

Lagu kedua pula tajuknya Kasihku Abadi. Bagi peminat-peminat kumpulan nasyid In-Team, rasanya, lagu ini bukan lagu yang asing bagi mereka.

Kamar hatiku sekian lama
Suram dan sepi kekosongan
Aku mencari insan sejati
Untuk menemani hidupku

Adam dan Hawa diciptakanNya
Disemai rasa kasih sayang
Agar bersemi ketenangan
Dan kedamaian di hati

Ku harap hanya keikhlasan
Dan ku rindukan keramahan
Aku inginkan kemesraan
Berkekalan berpanjangan

Mengasihimu, dikasihi
Menyayangimu, disayangi
Merindui dan dirindui
Saling mengerti di hati

Biar hilang kabus di wajahku
Biar tenang resah di dadaku
Terimalah serta kabulkan harapan ini
Oh Tuhan

Ku melafazkan kata penuh makna
Bersaksi Tuhan yang Maha Pemurah
Hidup mati jodoh pertemuan
Ditentu Allah yang Esa
Perkenankan hasrat di hatiku

Moga impian kan dirahmati
Dipertemukan serikandi
Susah dan senang sama harungi
Demi cinta yang hakiki

Berkaitan lirik-lirik lagu tersebut, ada dua perkara yang saya ingin sentuh.

Cakap Serupa Bikin

Yang pertama, kedua-dua lirik menyeru ke arah kebaikan. Dengan kata lain, lirik-lirik tersebut ialah permintaan kepada Allah agar dikurniakan pasangan hidup. Walaupun begitu, penerimaan pendengar agak berbeza.

Lagu daripada kumpulan nasyid diterima baik dan lagu daripada kumpulan rock diterima dengan biasa-biasa saja atau ditolak terus. Hanya sedikit sahaja yang dapat menerima kedua-dua lirik tersebut.

Apa sebenarnya pengajaran yang boleh diambil daripada senario ini?

Saya yakin pembaca sudah tahu satu dua perkara yang boleh diambil pengajaran daripada senario ini. Apa yang saya ingin tekankan ialah kalau kita hendak menyampaikan kebaikan orang lain, kebanyakan orang akan melihat siapa diri kita, bukan mesej yang ingin kita sampaikan. Selalu saja kita dengar,

"Kau tak solat sunat, nak suruh-suruh orang solat sunat."

"Kau main bola pun tak 'terror', nak ajar-ajar aku 'skill' pulak."

Satu perkara lagi, cara menyampaikan mesej juga perlu bersesuaian dengan pendengar. Kalau nak nasihat mat rock, kenalah irama rock. Kalau nak nasihat brader-brader nasyid, kenalah nasyid.

Kaedah Berdoa

Perkara kedua yang ingin saya kongsi ialah kaedah berdoa. Kedua-dua lirik lagu ialah doa kepada Allah. Munajat Cinta berdoa secara umum. Hanya dua sahaja ciri-ciri pasangan yang disebut dalam Munajat Cinta. Baik hati dan mengasihi apa adanya.

Dalam Kasihku Abadi pula, ciri-ciri pasangan yang dimahukan ialah:

1. Keikhlasan
2. Keramahan
3. Kemesraan
(Ketiga-tiga perkara di atas dipohon supaya kekal berpanjangan)

4. Dikasihi dan disayangi
5. Dirindui
6. Saling mengerti di hati (Faham Memahani)
7. Tabah mengharungi susah dan senang bersama

Dalam berdoa, boleh sahaja berdoa secara terperinci atau secara umum kerana doa-doa yang diajar Rasulallah s.a.w. juga ada pelbagai. Contoh doa yang umum ialah, 'Ya Rabb, kurniakan kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat..."

Contoh doa yang khusus ialah ' Wahai Tuhanku dengan bantuan-Mu, aku berlindung daripada sifat kikir dan bakhil dan aku berlindung daripada hutang...'

Ringkasnya, kalau anda rasa perlu minta sesuatu secara khusus, minta sahaja. Jangan ngada-ngada nak rasa yang kita ni 'demand' sangat dan sebagainya. Lagipun, meminta kepada Allah bukannya kita 'suruh' Allah buat sesuatu untuk kita. Kita minta kerana kita tahu Allah berkuasa.

Akhir kata, kurangkan bercakap dan banyakkan peningkatan serta mintalah kepada Allah apa-apa yang anda mahu kerana Allah maha berkuasa.

Friday, June 26

Sejuta Harapan

Sebagai manusia yang biasa, kita perlu kepada manusia yang lain. Kenyataan ini tak bermaksud saya menyatakan kita perlu kepada selain Allah. Secara ringkasnya, kita perlukan orang lain dalam mencapai matlamat kita.

Keperluan kepada orang lain dan kerjasama daripada mereka lebih penting jika usaha mencapai matlamat itu dipenuhi dengan rintangan dan ada orang lain pula yang mahu menentang matlamat kita.

Contohnya, dalam permainan bola sepak, matlamat kedua-dua pasukan ialah menewaskan lawan mereka. Itu bukan kerja seorang pemain sahaja. Itu kerja semua. Kalau hendak membina keluarga yang soleh (musuh kali ini ialah syaitan), maka kerjasama semua ahli keluarga amat penting. Itu bukan kerja ibu ATAU bapa SAHAJA.

Dalam proses pelajaran, kita perlukan pensyarah, tutor, dan rakan-rakan yang lain. Mungkin ada genius yang kata mereka tak perlu semua itu. Tapi, genius tu lupa, kalau tiada kawan-kawan lain yang lemah, dia tidak akan jadi genius. Dia kena berterima kasih kepada kawan-kawan dia dan berbuat baik kepada mereka.

Kalau sukan, keluarga, dan pelajaran pun kita perlukan orang lain, membina negara juga perlukan orang lain. Kalau nak bina negara Islam, yang ditentang oleh mereka yang 'tidak faham' atau ada agenda sendiri, jemaah Islam perlukan petugas-petugas.

Tetapi, janganlah terlalu yakin dengan bilangan petugas atau penyokong yang ramai. Sedangkan Rasulallah s.a.w. pun Allah gilirkan menang dan kalah dalam 'peperangan secara berdepan' dengan orang kafir, inikan pula umat yang jauh daripada baginda. Jadi, kalau tak pernah kalah, kena tanya diri, "Betulkah tindakan jemaah ini?"

Akhir kata, walau apa pun yang anda lakukan, main bola, belajar, membina keluarga, ataupun membina negara, yakinlah bahawa bekerjasama dengan orang lain itu fitrah. Haraplah kepada Allah semata-mata. Kalau Allah beri kesudahan yang baik, syukur.

Kalau dapat kesudahan yang buruk, sabar. Untuk yang suka berdoa sambil nyanyi-nyanyi, boleh semak lagu berikut di YouTube.com.

Moga diberi kekuatan.


La…la…la
Sejuta harapan
Yang aku sandarkan
Seberkas cahayaMu
Untuk terangi jalanku

Tanpa rahmat ampun-Mu
Tanpa kasih sayang-Mu
Hampa terasa hidupku

Ku ingin bersama-Mu
Dekat selalu dengan-Mu
Bahagia bersama-Mu

Ya Allah
Terangilah gelap hitam hatiku
Ya Allah
Sucikanlah hati ikhlas untuk-Mu

Penyanyi: Dai Nada

Sunday, June 21

Hari Lahir Umi Bersama Pria Terhebat

Penulis: Assalamualaikum, boleh saya cakap dengan wak Niah?

Umi: Waalaikumusalam. Eleh, ngada-ngada la tu. Kenapa telefon, ada apa-apa yang 'special' ke hari ni?

Penulis: Oh... Tak ada apa-apa. Cuma rindu kat umi.

Umi: Lah, hari ni kan Hari Lahir Umi? Hai... Cuma adik kau yang perempuan sorang je yang ingat. Anak-anak lanang (lelaki) 3 orang ni takda satu pun yang ingat.

Penulis: Eh? Hari Lahir Umi bukan 26 haribulan 6 ke?

Umi: Taklah! 20 haribulan... Adik perempuan kau tu sampai pinjam 'handset' cikgu dia lagi nak ucap 'Selamat Hari Lahir' pada umi.

Penulis: 20 ke? Bukan 26? Hehe... Betul juga. Takkanlah umi tak tahu hari lahir umi sendiri... (Rasa bersalah, 'loser', dan terkilan dengan kealpaan diri)

Umi: Tak apa. Terima kasih sebab telefon... Angah nak tau satu cerita tak?

Penulis: Ceritalah...

Umi: Umi hampir-hampir dapat duit percuma. Ceritanya macam ni. Minggu lepas ada kenduri kahwin di rumah ipar Cik Idut (adik umi). Umi kan jarang datang sana. Jadi, orang tak kenal umi sangat.

Penulis: Oh. Macamana umi boleh dapat duit percuma pula? Orang tempah kuih? Tu bukan percuma tu...

Umi: Tak. Umi tolong-tolong di dapur. Lepas tu, tetamu yang datang nak tengoklah pengantin perempuannya. Bila sampai dapur, kakak tu pun kata, "Alahai, pengantin perempuannya dah potong-potong kuih."

Penulis: Eh, dia salah sangka umi ni pengantin perempuan ke?

Umi: Itulah! Dia pun salam tangan umi. Dalam tangan kakak tu ada duit. Lepas tu, Cik Idut kata umi kakak dia. Umi bukannya pengantin perempuan. Duit yang dah kena tangan umi, kakak tu keruk semula. (Umi ketawa kecil)

Penulis: Hahaha! Dah kena tangan umi pun kakak tu keruk balik? Hahaha! Apa kakak tu buat lepas tu?

Umi: Kakak tu tanya, umi ni kakak cik Idut ke? Rupanya macam adik je. Lepas tu, kakak tu minta diri (cover malu kot) dan mencari pengantin perempuan yang sebenarnya.

Penulis: Oh... Macam tu ke? Cik Idut mesti jeles.

Umi: Lepas tu, ramai lagi yang datang dapur dan salah sangka umi ni pengantin. Kali ni, Cik Idut dah kata awal-awal pada tetamu yang masuk dapur mencari pengantin perempuan, "Itu kakak aku!"

Penulis: Kejap... Berapa umur pengantin perempuan tu?

Umi: 26 tahun. (Umi ketawa lagi)

Penulis: Astaghfirullah! Orang salah sangka umi ni pengantin berumur 26 tahun???

Umi: Tetamu-tetamu yang salah sangka tu kata, kenapa umi nampak lagi muda daripada Cik Idut? (Umi ketawa lagi)

Penulis: Nak buat macam mana? Rezeki masing-masing. Kuasa Allah.

Perbualan berlanjutan hingga Pria Terhebat pulang.

Pria Terhebat: Assalamualaikum. Apa cerita?

Penulis: Alhamdulillah. Ok je. Ayah, apa khabar?

Pria Terhebat: Baik-baik. Ayah baru balik daripada ceramah ni. Ayah kena 'standby', takut-takut karen terputus. Ustaz Farid Ravi Abdullah bagi ceramah. Bagus juga ceramah dia.

Penulis: Ceramah dia memang berisi. Angah pernah dengar ceramah dia dulu di KISAS. Ayah, angah nak ucap 'Selamat Hari Bapa'. Terima kasih sebab berkorban untuk angah dan yang lain-lain selama ini.

Pria Terhebat: Kau sihat, tak? Dengar cerita selsema babi di Adelaide ada seorang dah mati. Ustaz Ravi kata tadi, selsema babi ni ujian. Kalau-kalau kau bersin tutup hidung. Bahaya kalau kuman tu merebak.

Penulis: Eh, mana ayah tau pasal Adelaide ni? (Ubah topik pula ayah aku ni)

Pria Terhebat: Dalam berita ada sebut.

Penulis: Ayah, angah ada 'exam' minggu ni dengan minggu depan. Tolong doakan, ya?

Pria Terhebat: InsyaAllah. Belajar rajin-rajin. Cuba skor. Nah, cakap dengan umi.

Umi: Kau nak dengar cerita pasal adik kau tak?

Penulis: Kenapa dengan dia?

Umi: Umi suruh dia rajin sembahyang sunat. Masuk masjid ke, surau ke, solat sunat dulu. Satu hari, dia tidur kat surau 'office' dia. Lepas tu, kaki dia kena angkat. Dia nak baca apa-apa pun dia tak leh baca. Sudahnya, bila sampai rumah dia mintak umi jangan kejut dia.

Penulis: Oh, kena 'kacau' masa tidur di surau, ke?

Umi: Itulah. Umi kata pada dia, lain kali dengar pesan umi. Solat sunat dulu. Entah-entah jin-jin Muslim di surau marah dia tak hormati rumah Allah. Lepas tu, dia rajin solat sunat.

Penulis: Jangan solat sunat sebab takut pada jin sudahlah.

Umi: Umi usik dia. Umi kata, "Jangan solat sebab takut jin. Solat sebab takut Allah".
Edin jawab, "Iyolah umi". Kelakar adik kau tu.

Penulis: Oklah umi angah minta diri dulu. Doakan angah, ya?

Umi: Ok. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum.

Penulis: Waalaikumusalam.

*****

Selamat Hari Lahir,
Wahai ibuku yang paling kusayang,
Selain daripada Tuhanku yang paling tinggi,
dan Rasulku yang membawa Islam kepadaku,
Kau insan paling mulia.

Terima kasih atas didikanmu,
Aku hargai tunjuk ajarmu,
Moga Allah ampunkan dosamu,
Dan membalas amalanmu dengan rahmat-Nya.

Dan Pria Terhebat,
Terima kasih kerana menjaga dan mendidik ibuku,
Tidak syak lagi,
Kau memang Pria Terhebat.